EDU. INFO

2.2.4 Sejarah Pendidikan Al-Quran
Secara umumnya boleh kita katakan bahawa sejarah pendidikan Al-Quran bermula sejak ianya diturunkan. Bermula dari tarikh itu Al-Quran terus dibaca dan dipelajari. Sejak Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa al salam menerima wahyu yang pertama baginda terus membaca Al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain. ( Mohd. Yusof Ahmad, 2000 : 145 ).
Bentuk pengajaran Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa al salam ialah membacakan ayat-ayat suci Al-Quran al-Karim kepada para sahabat dan menerangkan maksud ayatnya supaya dapat difahami dan dihayati serta diamalkan pada saat itu juga. Baginda Rasul juga menyuruh para sahabatnya menghafal setiap ayat yang telah diajar di samping Rasulullah Sallalahu ‘Alaihi wa al salam menyeru para sahabatnya untuk menulisnya agar dapat sentiasa diulang kaji pada masa yang lain. (Ghazali Darusalam, 2001 ).
Menurut As-Saboony ( 1985 ), mengatakan Al-Quran pada masa itu bentuknya bukanlah seperti yang kita dapati sekarang, iaitu sebuah naskhah mushaf yang cukup lengkap, berkulit tebal, indah dan sebagainya. Pada zaman awal Islam, Al-Quran hanya beberapa ayat dan beberapa surah yang tertulis di atas alat-alat yang mudah didapati pada masa itu seperti kulit-kulit kayu, pelepah tamar, kulit bintang, batu-batu, tulang dan sebagainya. ( Dalam Mohd. Yusof Ahmad, 2000 : 145 ).
Telah menjadi amalan setiap kali turun sahaja wahyu, baginda Shalallahu ‘Alaihi wassalam akan memanggil sahabat-sahabatnya ( dikenal dengan penulis-penulis wahyu ) untuk menulis ayat-ayat yang baru turun itu. Nabi Sallallahu ‘Alaihi wa al salam sendiri terus menghafaz ayat-ayat tersebut kemudian membacakannya kepada sahabat-sahabat serta memberi faham maksudnya. Sahabat-sahabat pula berusaha menghafaz ayat-ayat tersebut dan mengamalkannya. ( Mohd. Yusof Ahmad, 2000 : 145 ).
Kebanyakan sahabat lebih cenderung untuk menghayati sesuatu ayat yang mereka hafaz ( biasanya mereka belajar 10 ayat ). Setelah faham dan beramal dengannya barulah mereka menghafaz dan belajar ayat yang baru ( Shalaby, 1954 ). Tempat Nabi Sallallahu ‘Alaihi wa al salam mengajar Al-Quran ialah di rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam. Pengikut-pengikut baginda kemudiannya mengajar keluarga masing-masing di rumah sendiri ( Mohd. Yusof Ahmad, 2000 : 146 ).
Setelah berpindah ke Madinah maka nabi Sallallahu ‘Alaihi wa al salam menjadikan rumahnya sendiri sebagai tempat mengajar Al-Quran. Hal ini didapati tidak begitu sesuai, kerana ada gangguan seperti kanak-kanak yang berjalan ke sana ke mari, bising dan sebagainya, maka Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa al salam kemudian menjadikan masjid sebagai tempat mengajar agama Al-Quran kepada orang dewasa dan kanak-kanak yang sudah mumaiyiz ( Al-Abrashi, 1976 ). Manakala kanak-kanak di bawah umur mumaiyiz belajar di kuttab ( Mohd. Yusof Ahmad, 2000 : 146 ).
Sebelum kedatangan Islam kuttab telah pun wujud di Makkah. Di kuttab inilah orang Arab belajar menulis dan membaca. Menurut Shalaby ( 1954 ) telah mengutip daripada beberapa buah buku mengatakan bahawa orang Arab yang pertama belajar menulis dan membaca ialah Sufian bin Umayyah dan Abu Qais bin Abd. Manaf. Gurunya ialah Bishr bin Abd. malik seorang kristian. Sejak itu orang-orang di Makkah mula belajar menulis dan membaca di kuttab-kuttab yang ada. Semasa kelahiran Islam ada 17 orang Quraish yang boleh membaca dan menulis. Mereka yang memeluk agama Islam di peringkat ini dan pandai menulis akhirnya menjadi penulis wahyu kepada Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi wa al salam ( Mohd. Yusof Ahmad, 2000 : 146 ).
Setelah kedatangan Islam, kutab ini terus hidup dan ditambah satu jenis kuttab lagi iaitu kuttab untuk belajar Al-Quran. Islam menggesa umatnya supaya belajar menulis dan membaca. Ayat Al-Quran yang mula-mula diturunkan jelas menunjukkan bahawa Islam mementingkan kemahiran menulis dan membaca. Sejak itu anak-anak orang Islam telah dihantar ke kuttab untuk belajar menulis dan membaca. Jadi, kuttab merupakan sebagai sekolah pertama bagi kanak-kanak. Pada masa itu kebanyakkan kuttab terletak di tepi atau di anjung masjid atau di rumah-rumah guru. Bagi orang kenamaan, anjung istana itu sendiri dijadikan kuttab untuk mengajar anak-anak mereka ( Mohd. Yusof Ahmad, 2000 : 146 ).

2.2.5 Cara pengajaran Rasulullah
Al-Badry ( 1984 ) mengatakan cara pengajaran Nabi Sallallahu ‘Alaihi wa al Salam terhadap sahabat-sahabat baginda iaitu, a) Tilawah iaitu boleh membaca Al-Quran dengan baik dan fasih. b) Tafahhum dan Tafsir iaitu mengetahui makna dan faham maksud ayat-ayat yang dibaca. c) Tatbiq bermaksud menghayati atau merealisasi ajaran Al-Quran dalam hidupnya dengan sepenuh hati dalam semua aspek kehidupan. d) Tahfiz yakni menghafaz ayat-ayat tertentu dari Al-Quran untuk amalan, bacaan dalam solat dan wirid-wirid. Jika dapat menghafaz keseluruhannya adalah sangat baik. e) Tarannum ini bermaksud membaca Al-Quran dengan suara yang baik dan merdu serta dengan lagu yang sesuai’ Lagu ini mestilah lagu Al-Quran. f) Ta’lim bermakna mengajar. Maksudnya berusaha belajar sehingga boleh mengajar orang lain. Dengan cara ini Al-Quran boleh berkembang dari satu masyarakat ke satu masyarakat dan dari satu generasi ke satu generasi.
Mohd. Yusof Ahmad ( 2000 ) merumuskan bahawa pengajaran Al-Quran bukan sahaja untuk mengenal huruf dan boleh membaca tetapi lebih luas daripada itu. Ia merangkumi bacaan, kefahaman, penghayatan dan hafazan. Mungkin orang yang diajar itu boleh pula mengajar orang lain. Dengan ini barulah sempurna pengajaran dan pembelajaran Al-Quran.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: